Rabu, 1 Disember 2010

Jagalah H A T I Pasangan anda


PASANGAN adalah ‘sahabat’ kita yang paling rapat dan setia. Tak kira waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi.Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang terakhir yang perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita seadanya.Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain.Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan tidak menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka sudah mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa pun yang terjadi.Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah tanggapan tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu dijaga dan hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan bukan untuk orang lain.Penulis berminat untuk berkongsi satu ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, ujarnya; “Jika mahu diri disayangi, beri kasih sayang kepada orang dahulu”. Maksud lain yang dapat penulis simpulkan di sini ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan